Monday, 19 November 2012

Biah Solehah di Kampus




Kempen Biah Solehah(KBS) sememangnya merupakan suatu program klise tahunan bagi setiap kampus. Ia merupakan adat yang tak boleh ditinggalkan oleh mana – mana Majlis Perwakilan Pelajar di setiap kampus. Tak dinafikan ia merupakan hasrat yang cukup suci lagi murni untuk dilaksanakan bagi para mahasiswa di peringkat kampus. Ia mendambakan suatu natijah yang bersifat kolektif serta komprehensif. Satu impian optimistik yang mengharapkan penjelmaan semula Generasi Al Quran yang Unik dalam carta strata sosial anak muda. Sebuah sistem sosial yang mengaplikasikan intipati – intipati yang ada di dalam Al Quran secara total. Kehidupan yang sejahtera persis zaman RasululuLLAH saw dan sahabat – sahabat ra.

Ketika Assaiyidah `Aiisyah Radhiallahu’anha ditanya mengenai kelakuan, perangai dan perjalanan hidup Rasulullah SAW maka beliau menjawab :

“kelakuan dan perjalanan hidup beliau (Rasulullah saw) itu ialah Al-Quran”
[Hadis riwayat Nasai]

Imran b. Hushain ra berkata, Rasulullah saw bersabda :

Sebaik-baik umatku ialah yang hidup pada kurunku, kemudian yang mengikuti zaman mereka dan kemudian yang mengikuti zaman mereka. Imran berkata,”Saya tidak ingat sama ada (Nabi shallallahu 'alaihi wasallam) menyebut 2 atau 3 kurun selepasnya”.
[ Hadis Riwayat al Bukhari]

Normalnya, perlaksanaan KBS di peringkat kampus berlegar di sekitar beberapa tema perdana yang disandarkan di sisi hadis Nabi saw. Hadis haq Al Thoriq. Kebanyakan pimpinan – pimpinan kampus bersetuju terhadap garis panduan murni KBS ini. 

Sabda Nabi saw :

“Janganlah kamu duduk-duduk di atas jalan.”

Maka mereka (para sahabat) berkata, “Sesungguhnya kami perlu duduk-duduk untuk berbincang-bincang.” Nabi menjawab, “Jika kamu tidak dapat berganjak melainkan perlu duduk-duduk, maka berikanlah hak-hak jalan tersebut.” Mereka bertanya, “Apa hak-hak jalan tersebut wahai Rasulullah?”

Nabi menjawab, “Menundukkan pandangan, tidak mengganggu (atau menyakiti) orang, menjawab salam, dan memerintahkan kepada yang ma’ruf serta mencegah dari kemungkaran.”
[Hadis Riwayat al-Bukhari]

Komponen – komponen atau tema KBS yang dikeluarkan melalui hadis di atas.

1] Tundukkan pandangan : ikhtilat(pergaulan di antara lelaki dan perempuan) yang terkawal.
2] Tidak menyakiti : no bully !(ukhwah islamiyyah) atau manjaga kebersihan persekitaran kampus.
3] Menjawab salam : budayakan 3S(senyum, sapa,salam).         
4] Amar ma’ruf  and nahi mugkar: dakwah atau tazkirah yang berterusan.

Apabila kita berbicara soal KBS banyak belanjawan atau dana wang ringgit yang telah diperuntukkan dan banyak tenaga – tenaga mereka yang ‘angau’ dengan syurga telah dikerahkan. Namun terdapat bebeberapa persoalan atau polemik - polemik yang ramai daripada kita termasuk perwakilan – perwakilan kampus(pelaksana kempen) buat – buat tak nampak dan pada masa yang sama saling bertawakkal buta kepada Allah swt. Ia adalah suatu yang dianggap faktor picisan, namun rumit dan memerlukan suatu daya korban yang tinggi daripada para mahasiswa dan para pimpinan mahasiswa.

“Collective Work”. Hubungan dua hala serta kerjasama yang konsisten di antara dua lapisan carta sosial kampus ini sering dilupakan. Ia merupakan elemen yang terpenting dalam usaha melestarikan biah solehah di dalam atmosfera kampus. Pimpinan mahasiwa membuka medan, para mahasiswa mengisi kekosongan. Biah solehah/Islamic Environment cemerlang dijayakan. Namun, ia sering ditinggal belakangkan dalam misi KBS ini. Ramai daripada kita yang kenal nama RasuluLLAH saw dan para sahabat ra dalam kitab – kitab Sirah atau Tarikh, namun kurang yang kenal dan mahu kenal serta ingin manyambung PERJUANGAN Baginda saw dan para sahabat ra. Escapisme mengusai diri. Budaya, hidup aku, perjuangan aku. Hidup perwakilan mahasiswa, perjuangan retorik para perwakilan sekalian. Seringkali melepaskan diri mencipta alasan. Senario perpecahan kronik di antara dua strata lapisan sosial ini mengundang pembaziran yang ketara dalam pegurusan sumber manusia dalam legasi dakwah. Sedarlah kalian, bahawa sesungguhnya, hanya kesatuan dalam perpaduan  yang akan membuahkan hasil dalam perjuangan. Ingatlah disaat Allah swt berkata – kata.

Firman Allah swt :

“...dan hendaklah kamu bantu – membantu atara satu sama lain ke atas kebaikan dan ketaqwaan, dan janganlah kamu bantu membantu antara satu sama lain ke atas dosa dan permusuhan, dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha berat azabnnya.”
[Al Maidah : 2]

“ Sesungguhnya, Allah mencintai mereka yang berjuang di jalaNYA, dalam satu organisasi(pemimpin dan pengikut) yang tersusun, bagaikan sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”
[As Saff : 4]

Sabda nabi Muhammad saw :

“ Barangsiapa yang memisahkan dirinya daripada jemaah(organisasi islam) sekadar sejengkal, maka sesungguhnya dia telah menanggalkan islam daripada lehernya, sekalipun dia bersolat berpuasa dan menyangka dirinya seorang muslim”
[Hadis Riwayat At Tirmidzi]

Berdasarkan daripada dalil naqli(Al Quran dan hadis sahih) di atas, tak dinafikan lagi bahawa semua peringkat mahasiswa harus berkerjasama dalam usaha melestarikan biah solehah di kampus masing – masing. Tak kira sama ada dia adalah perwakilan mahasiswa, ataupun mahasiswa yang tidak berjawatan, kesemuanya haruslah mempunyai kesedaran yang bersifat Rabbani ke atas usaha yang kolektif dalam agenda yang murni ini. Ia bukanlah suatu gerakan yang membutuhkan timbal balik ganjaran di dunia bahkan sebaliknya, ia adalah semata – mata ekspresi anak muda terhadap azam dan jihad terhadap seruan perjuangan Baginda saw dan para sahabat. Membenamkan syariat islam ke dalam diri setiap mahasiswa di kampus sebagai sistem kehidupan yang komprehensif dan seimbang. Sokongan padu dan komitmen yang dedikasi daripada kedua pihak sangat – sangat memainkan peranan. Baik perwakilan mahasiswa ataupun mahasiswa itu sendiri.

Selain itu, KBS yang diadakan secara membabi buta dan ibarat melepaskan batuk ditangga juga sering berlaku. Tidak ada sasaran madh’u mahupun penekanan terhadap aspek biah solehah secara khusus ataupun berfokus. Semuanya berjuang bermati – matian atas dasar iman yang tak berbelah bagi disamping mengharapkan ganjaran daripada Allah swt.  Masalah yang mendatang disebabkan salah sendiri dikatakan ibtila’ daripada Allah swt, bukti perjuanganya benar. Romantis dengan strategi kuno sendiri dan pengurusan berterabur. Kesalahan demi kesilapan sering terpelanting diarahtujukan puncanya ke arah ajk bawahan. Apabila ditanya, apakah itu biah solehah? Asap gorengan bawang yang hampir hangus merebak ke ruang udara. Goreng tak habis – habis. Jawatankuasa perlaksana seharusnya merangkasatu pelan tindakan master yang berfokus. Lagi sedikit lagi bagus(fokus tadi). Contoh, kebersihan dan budaya 3S. Kualiti diutamakan ke atas kuantiti. Perincikan jenis – jenis sasaran madh’u. Senaraikan apa yang menjadi tarikan kepada kelompok – kelompok madh’u yang beragam itu, dan apa yang menjadi penghalang diantara mereka dan KBS.

Sabda RasuluLLAH saw :

 "Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan dengan tekun.”
[Hadis Riwayat Al-Baihaqi]

Kata-kata Saidina Ali R.A :

“ Kebenaran tanpa perancangan yang tersusun bakal dikalahkan kebatilan yang terancang dan tersusun”

Namun begitu, ana tak nafikan usaha mereka(pimpinan mahasiswa dan mahasiswa sekalian) yang kritis dalam melaksanakan KBS di kampus masing – masing. Tahniah dan moga istiqamah. Alfun mabruk ‘alaikum. Ana tak berniat untuk membincangkan soal teknikal atau perlaksanaan dalam penulisan kali ini. Ia berkait soal waqi' di kampus masing - masing. Hanya ingin menyentuh beberapa perkara perdana yang kadang – kadang kita terlupa.

waLLAHUa’lam.

No comments:

Post a Comment